Search This Blog

Wednesday, 27 May 2020

Mimpi Yang Tak Sudah Part 3

Majlis perkahwinan Mirza berjalan lancar. Beberapa saudara-mara yang datang memandang Jihan seolah-olah dia tidak layak berada di situ. Kata-kata salam turut diganti dengan perlian.

Namun, ada juga yang gembira bertentang mata dengannya. Berbual seolah-olah enam tahun itu lamanya seperti baru semalam mereka berjumpa.

Ada juga beberapa kawan Jihan yang datang. Tidak, bukan atas jemputan Jihan, tetapi jemputan keluarganya. Rupa-rupanya, semenjak tiga tahun lalu, mereka berhubung dengan teman-temannya dengan harapan mendapat khabar tentang keberadaannya. Mengetahui hal itu, Jihan seolah-olah mula nampak biasan cahaya di hujung terowong yang gelap.

Malam selepas majlis persandingan Mirza, mereka sekeluarga serta saudara-mara duduk di ruang tamu sambil berbual-bual. Jihan lebih banyak berdiam dan hanya mendengar. Namun, suasana yang tenang itu bertukar tegang apabila isteri Mirza ditanya salah seorang sepupu Mirza tentang apa yang membuatkan Farah memilih Mirza.

“Sepanjang perkenalan kami, Mirza orangnya bertanggungjawab dan matang. Farah tahu, kalau Farah cakap ni, mesti orang ingat Farah kaki kikis, tapi salah satu sebab Farah kahwin dengan Abang Mirza juga ialah sebab Farah yakin dia mampu jaga Farah dari segi kewangan. Dia tidaklah kaya seperti anak Dato’ atau Tan Sri tapi dia ada pekerjaan yang baik dan Farah tahu dia memang sentiasa bekerja keras.” Farah tersenyum lalu tertunduk. Hatinya sedikit berdebar menunggu tindak balas saudara-mara baharunya tentang jawapannya.

“Apa yang kaki kikisnya, Farah oi. Semua orang nak hidup dengan kewangan stabil. Farah pun bekerja juga. Alhamdulillah Farah pilih orang macam Mirza. Walaupun muka anak buah Mak Ngah ni boleh jumpa dekat mana-mana, kurang-kurang dia mampu jaga makan pakai Farah.” Bebel wanita separuh abad yang dipanggil Mak Ngah itu membuatkan seluruh ruang tamu tertawa kecil. Farah lega mereka berkongsi pendapat yang sama dengannya.

“Betul tu Mak Ngah. Lagipun kami tak perlu fikir tentang rumah lagi bila kami dah tua. Abang Mirza kan dah ada rumah ni,” kata Farah sambil tersenyum.


Senyap. Semua sanak-saudara yang ada di situ senyap. Bunyi kipas siling jelas di telinga. Malah, andai ada jarum peniti yang jatuh, pasti kedengaran seperti tiang bendera yang jatuh.

Jihan tersenyum sinis dan dengusannya jelas kedengaran oleh seluruh ruang tama. Kini, semua mata tertumpu kepadanya.

Mata Jihan tajam menikam anak mata Mirza. “Farah, akak tak tahu apa yang adik kesayangan akak ni bagitahu Farah, tapi untuk pengetahuan Farah, rumah ni hak milik penuh akak.”

Mirza tertunduk malu. Farah pula mukanya berkerut. Tidak, Mirza tidak pernah mengatakan apa-apa terhadapnya tentang rumah tersebut. Dia yang membuat andaian sendiri bahawa rumah itu milik ibu mentuanya dan bakal diturunkan kepada Mirza memandangkan Mirza satu-satunya anak lelaki Aminah. Dia juga tahu Mirza merupakan anak kesayangan ibunya.

Jihan mempertimbangkan sesuatu di balik senyumnya lalu bangun, mencapai kunci kereta Honda Jazz yang disewanya untuk kegunaannya selama beberapa hari di Malaysia. Lebih baik dia pergi menenangkan diri, melihat Kuala Lumpur yang mungkin sudah banyak berubah semasa ketiadaannya.

Bersambung...

P.S: Klimaks semakin hampir!!!

No comments:

Post a Comment