Search This Blog

Monday 1 June 2020

Mimpi Yang Tak Sudah Part 4

“Cik Jihan binti Abdullah, anda ditahan atas tuduhan mencederakan dan membunuh Puan Farah binti Nuqman.” Anggota polis itu menggari tangan Jihan.

Mata Jihan masih tertancap di tubuh Farah yang kini ditutup dengan plastik hitam oleh anggota polis yang lain. Tangannya masih terasa basah dengan darah Farah yang dirangkulnya beberapa minit lalu. Akalnya masih cuba untuk memahami apa yang sedang berlaku.

Saat dia diheret keluar oleh anggota polis, dia bertentang mata dengan ibunya. Namun, Aminah melarikan pandangan. Rasa bersalah. Ya, itu yang dapat Jihan baca dari riak wajah ibunya. Tanpa sedar, Jihan tersenyum tawar dan air matanya mengalir.

Jihan ditahan untuk membantu siasatan. Farah didapati mati akibat kecederaan di kepala akibat dihentak objek tumpul. Jihan menjadi suspek utama kerana keadaannya yang merangkul tubuh kaku Farah saat polis tiba.

“Saya baru keluar bilik air bila saya tengok Jihan dan Farah tengking satu sama lain. Saya lari keluar rumah dan telefon polis bila Jihan mula baling-baling barang. Bila saya masuk balik, Farah dah terbaring,” keterangan saksi yang merupakan ibu suspek, Aminah.

Saudara-mara yang memberi keterangan bahawa beberapa hari sebelum kejadian itu, sememangnya berlaku ketegangan antara Farah dan Jihan mengenai hak milik rumah menguatkan lagi tanggapan awal polis bahawa sememangnya Jihan membunuh Farah dengan niat.


Jihan pula, tidak memberi kerjasama sewaktu dia direman. Dia bingung dan masih terasa bagai sedang bermimpi.

“Cik Jihan, tolong jawab soalan saya. Apa yang terjadi sebelum Puan Farah meninggal dunia?”

Jihan merenung anggota polis tersebut. “Saya…” Jihan yang mula bersuara membuatkan anggota polis tersebut membetulkan kedudukannya. “Saya nak seorang peguam sebelum saya jawab sebarang pertanyaan.”

Anggota polis itu mengeluh. “Awak dibenarkan hubungi peguam awak.”

Sepanjang menunggu kehadiran peguam Jihan, anggota polis tersebut masih cuba menyoal Jihan. Kini, pendekatan yang digunakan sedikit kasar. Jihan diherdik dan ditengking. Ternyata pihak polis terdesak untuk mendapatkan walau secebis kenyataan sebelum ketibaan peguam. Jihan pula, kekal membatu.

Setelah beberapa jam, kedengaran pintu bilik soal siasat itu diketuk tiga kali. Seorang lelaki berpakaian kemas masuk ke dalam bilik itu. “Saya Fahmi Rashid, peguam Jihan Abdullah.” Lelaki itu menghulurkan sekeping kad pengenalannya kepada anggota polis tersebut. Lalu kad itu disambut anggota polis itu dengan riak wajah yang jelas tidak gembira dengan kehadirannya.

“Saya minta untuk berbincang dengan anak guam saya bersendirian sebelum soal siasat dimulakan.” Nada Fahmi tegas.

“Baik. Silakan.” Kata anggota polis itu lalu beredar, mukanya masih menunjukkan riak tidak puas hati.

Fahmi duduk di hadapan Jihan. Begnya diletak di atas meja dan buku notanya dikeluarkan. “So?”

Fahmi - salah seorang kawan rapat Jihan semenjak di universiti. Namun, semenjak enam tahun lalu, mereka sudah renggang. Jihan jarang menghubungi rakan-rakannya. Malah, mereka tidak tahu keberadaannya di Ireland selama enam tahun itu hingga majlis kahwin Mirza di mana rakan-rakan rapat Jihan hadir.

Secara jujur, Jihan malu untuk meminta tolong Fahmi ketika ini, setelah enam tahun menghilangkan diri. Namun, dia tidak mengenali mana-mana peguam di Malaysia melainkan Fahmi membuatkan dia terdesak lalu teringat Fahmi saat dia meminta untuk menghubungi peguam.

Jihan mengetap bibirnya. Tidak pasti apa yang patut diceritakan kepada Fahmi.

“Jihan, cerita dekat aku apa yang jadi. Kalau tidak, aku tak boleh tolong kau. Sia-sia kau panggil aku ke sini dan perlu bayar fee aku kalau aku tak boleh tolong kau,” sisi tegas Fahmi itu janggal bagi Jihan yang selalu melihat Fahmi sering berjenaka.

Akhirnya, setelah beberapa jam mengemam air liur, Jihan membuka mulut.

Pagi itu, Jihan sedang minum di sebuah cafe sambil sambung menulis karya barunya. Meluangkan masa di situ kerana dia malas untuk pulang ke rumah. Setelah bergaduh dengan Farah beberapa hari lepas, dia berasa janggal untuk berada di ruang yang sama dengan Farah walaupun Farah dan Mirza sudah meminta maaf. Lagipun, hanya Farah yang ada di rumah hari ini memandangkan Mirza, ibunya dan Syirah mempunyai hal tersendiri yang perlu diuruskan.

Setelah beberapa jam berlalu dan beberapa cawan kopi dipesan Jihan, ibunya menelefon Jihan. “Jihan, Jihan ada di cafe dekat dengan rumah tu kan? Jihan tolong ibu boleh?”

“Kenapa ibu?”

“Jihan tolong tarik ampaian masuk ke dalam lepas itu letak dalam dryer boleh? Ibu telefon Farah tetapi tak terjawab. Tidur mungkin. Tak pun dia keluar.” Suara ibunya kedengaran gundah.

 ‘Risau betul pasal baju,’ bisik hati Jihan. “Hurm. Yalah. Jihan balik sekarang.” Jihan mematikan talian lalu mengemas barang-barangnya.

Tiba sahaja di rumah, dia menarik ampaian seperti yang diminta ibunya lalu mengangkat pakaian yang tersidai. Saat dia masuk ke dalam rumah, pakaian yang diangkatnya terlepas dari pegangan.

“Farah!” Jerit Jihan lalu dia merangkul tubuh Farah. Dia menampar-nampar muka Farah agar Farah menyedarkan diri. Dalam kecelaruan akalnya dan perasan cemas yang menguasai dirinya, dia tidak sedar kehadiran ibunya malahan bunyi siren polis yang semakin hampir.

Bersambung....

P.s : apa pendapat anda tentang klimaks ni?

No comments:

Post a Comment