Search This Blog

Sunday, 24 May 2020

Mimpi Yang Tak Sudah Part 1

“Buat apa akak nak balik? Bukan akak yang kahwin,” nadanya dingin sedingin suhu di bumi Ireland ketika itu.

“Akak tak rindu Syirah?”  Soalan Syirah membuatkan Jihan terkedu seketika.

“Syirah tahu ‘kan, akak tetap sayangkan Syirah walau akak di hujung dunia sekali pun.”

“Hurm.” Ringkas balasan Syirah memberitahu Jihan bahawa adiknya terasa hati.

Dia melembutkan nada, cuba untuk memujuk adiknya. “Syirah, kalau akak balik pun siapa nak terima akak? Nanti akak mengganggu majlis je.”

“Syirah, bagi ibu cakap dengan kakak,” kedengaran suara ibu mereka di belakang Syirah.

“Assalamualaikum Jihan.” Senyap. Salam ibunya tidak disahut. Suara sang ibu yang lembut terasa janggal di telinganya. Suara itu enam tahun lalu sinonim dengan herdikan dan perlian terhadap Jihan. Hanya Jihan.

Wanita separuh usia itu dapat mendengar nafas anaknya di hujung talian. “Jihan, balik ya?”

Masih senyap. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa bercampur-baurnya perasaan Jihan sekarang.

“Jihan,” Aminah menghela nafas. “Ibu tahu, ibu tak jaga Jihan dengan baik dulu. Ibu banyak sakitkan Jihan. Izinkan ibu cuba untuk pulihkan keadaan kita,” suara sebak wanita itu jelas kedengaran di telinga Jihan.

Namun, Jihan tidak terus menjawab permintaan ibunya. Dia terus berdiam seketika. “Tengoklah macam mana.”

Talian dimatikan. Jihan duduk termenung di balkoni kondominiumnya di bumi orang itu. Bumi asing yang menjadi teduhan ketenangannya sejak membawa diri enam tahun lalu.

“I love my family, I really do. But for God’s love, I can’t live with them.” Prinsip Jihan yang pernah dilafazkan kepada salah seorang bekas teman lelakinya dahulu.

Namun, dia tidak sangka benteng hati yang dibinanya sekian lama goyah dengan mudah setelah beberapa patah kata pujuk rayu ibunya. Perbualan pertama sejak dia memutuskan semua perhubungan kecuali dengan Syirah.

Jihan tersandar pada kerusi sambil matanya terkatup. Dia tahu, malam ini akan terasa panjang dek memikirkan apa yang betul dan apa yang salah.


Ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut rasa gelisah di dalam dadanya.

Syirah berjanji akan tiba awal untuk mengambilnya di situ. Jihan menghidupkan semula telefon bimbitnya untuk menelefon Syirah.

‘Akak, Syirah tunggu dekat gate 3’ Belum sempat dia menelefon, pesanan ringkas dari adiknya diterima membuatkan dia bergegas ke tempat tersebut.

Usai sampai, kelibat Syirah tidak kelihatan.

“Akak!” Suara garau yang menyapa Jihan dari belakang membuatkan darahnya berderayu. Jihan menoleh. Mirza.

Muka Mirza yang tersenyum membuatkan Jihan terasa mual. Namun, dia cuba membalas senyuman itu walau mukanya terasa kejung dek kejutan itu. Mirza memasukkan bagasi Jihan ke dalam bonet kereta.

Perjalanan pulang itu hanya ditemani bunyi radio. Kejanggalan terasa hingga ke tulang.

“Mirza baca Sins of The Lips,” suara Mirza memecahkan kejanggalan.

“Oh ye ke? Terima kasih,” Jihan membalas ringkas, cuba menamatkan perbualan di situ. Dia masih tidak pasti hendak menggunakan nada bagaimana apabila berbual dengan Mirza. Enam tahu lalu, nada mereka terhadap satu sama lain hanya satu. Herdikan yang membingitkan telinga.

“Mirza dengan Syirah baca semua buku-buku akak. Kadang-kadang rasa macam akak bercerita direct dekat kami.”

Kenyataan Mirza tidak dibalas Jihan. Dia sekadar mencampakkan pandangannya ke luar tingkap. Mungkin sebuah pintu ajaib untuk menyambung hubungan kekeluargaan itu sudah terbuka. Mungkin.


Bersambung....

P.s: MZ menulis setelah 5 tahun! Komen membina sangat dialu-alukan! P.s : Part 2 dah post juga!

No comments:

Post a Comment