Kereta yang dipandu Mirza memacu ke dalam sebuah taman perumahan yang tidak asing bagi Jihan. Kereta itu kemudian berhenti di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di mana Jihan meletus enam tahun lalu.
‘Masih rumah ini,’ desus hatinya.
Kepulangannya setelah enam tahun disambut tubuh tua yang terketar-ketar menhampirinya. Tangan yang terketar-ketar itu bukan kerana usia yang lanjut, tetapi kerana takut, Takut menghadapi segala dosa-dosa silamnya.
Tubuh Jihan dipeluk erat oleh Aminah. “Maafkan ibu,” bibirnya berbisik diikuti aliran air mata.
Jihan hanya memejamkan mata. ‘Tuhan, berikan aku yang terbaik,’ hati kecil Jihan melafazkan doa yang sering diulanginya sejak kecil.
Wanita yang bakal dikahwini Mirza bukan Suria. Hal itu membuatkan Jihan tergelak di dalam hati. ‘Punyalah bersungguh-sungguh pertahankan cinta yang paling agung, sampaikan aku lari sebab itu.’
Menurut Syirah, Mirza putus dengan Suria tidak lama selepas Jihan membawa diri. Jihan tidak mahu tahu alasannya, namun sekadar tersenyum kerana dia sudah tahu dari awal bahawa Mirza dan Suria tidak sesuai. Mereka seperti kisah cinta antara dua darjat.
“Akak, tolonglah Mirza. Mirza betul-betul nak kahwin dengan Suria. Ayah Suria tak bagi kami kahwin melainkan Mirza ada rumah!”
“Kau ni tak tahu malu ke? Kau bukannya sayangkan Suria pun! Kau cuma nak bolot harta dia!”
“Heh Jihan! Kau jangan nak hina Mirza! Dia buat macam itu supaya dia boleh tolong kita dengan harta bapak Suria!” Ibu mereka turut mencelah dengan suara yang lebih nyaring.
Jihan tersenyum sinis.
“Memanglah. Memanglah ibu tak rasa bersalah. Sebab ibu pun sama waktu kahwin dengan ayah dulu. Pisau cukur!” Dia memandang ibunya jijik.
Satu tamparan hinggap ke muka Jihan. “Kau jangan biadap dengan aku, anak haram! Selama hidup aku, kau cuma bawa sial! Sekarang aku bagi dua pilihan. Sama ada kau tukar rumah ni ke atas nama Mirza, atau kau bukan lagi anak aku!”
Jihan diam. Segara rasa marah, sedih dan kecewa di dada hilang. Dia sebal. Dipanggil anak haram - walau itu sebenarnya hakikat - lalu diberi pilihan sama ada dibuang keluarga atau terus membuta berkorban, membuatkan semua harapan yang dia ada untuk dilayan baik oleh keluarganya hancur.
Dia berlari ke biliknya, mengambil geran rumah yang tersimpan rapi di tempat yang tidak disangka ibunya. ‘Langkah mayat aku,’ desis hatinya.
Rumah itu - pemberian arwah nenek dan datuknya apabila dia mencecah umur 18 tahun. Mereka berdua yang menjadi tempat menumpang kasih di saat ibunya membenci dirinya. Dia dibesarkan oleh mereka dan ketika umurnya 20 tahun, kedua-dua mereka meninggal di tanah suci. Rumah itu diberikan kepadanya agar sekurang-kurangnya dia punya tempat berteduh walau tiada tempat menumpang kasih setelah mereka berdua tiada.
Jihan mencapai bagasi yang masih dipenuhi baju setelah dia pulang dari lawatan kerjanya semalam. Kunci kereta, beg duit dan telefon bimbit diperosok ke dalam beg silang. Dia nekad.
“Heh! Kau nak pergi mana tu?!” Tengking ibunya apabila melihat dia menarik bagasi keluar rumah.
Syirah merayu-rayu supaya dia tidak pergi. Mirza pula berdiam dengan muka yang berkerut tanda marah.
Jihan menelefon ketuanya di tempat kerja. Dia perlu pergi. Sekurang-kurangnya untuk seketika. “Boss, I’ll take the offer to Ireland.”
Malam itu, dia tidur di hotel bajet. Dia terkenang bagaimana sebelum dua tahun lalu, ibunya tidak pernah mengendahkannya. Ibunya sekadar pulang ke rumah atuk dan neneknya sekali-sekala membawa adik-adiknya dan ayah tirinya. Setelah 26 tahun hidup tidak mengenal kasih sayang ibu, tiba-tiba ibunya berkata mahu hidup serumah kerana ayah tirinya sudah meninggal. Hal itu membuatkan keluarga ibunya jatuh susah dan rumah ayah tirinya terpaksa dijual. Betapa silap anggapan Jihan bahawa mungkin itu peluang baginya untuk menebus kasih sayang ibunya.
Bersambung...
P.s : Kritikan membina amat dialu-alukan. Nantikan part 3 dua hari lagi!
No comments:
Post a Comment