Jihan menitiskan air mata memikirkan gari di tangannya disebabkan ibunya sendiri.
“Jihan, maksud kau, mak kau nak perangkap kau?” Fahmi tidak tahu mahu percaya atau tidak. Dia tahu, hubungan Jihan dan ibunya tidak baik sejak dahulu. Namun, setelah Jihan pergi, ibu Jihan sudah berubah malah menghubunginya untuk mencari Jihan.
Jihan sekadar mengangguk longlai untuk menjawab pertanyaan Fahmi. “Semalam, ibu - dia ada bergaduh dengan Farah. Aku tak pasti sebab apa tapi teruk juga,” cerita Jihan tentang kejadian malam semalam.
“Kau rasa mak kau yang bunuh Farah?” Fahmi bertanya lagi.
Namun, Jihan hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu. Jujur, dia tidak tahu ibunya ada kemampuan untuk membunuh orang atau tidak. Apatah lagi perempuan yang dicintai anak kesayangannya sendiri. Namun, dia tahu ibunya bukanlah malaikat.
“Jihan, aku percaya kau tapi untuk buktikan kau tak bersalah, susah. Keterangan saksi bercanggah dengan keterangan kau.”
“Saksi?”
Fahmi mengangguk. “Mak kau. Dan Mirza. Mak kau kata kau, Farah dan dia memang ada di rumah. Kau mula bergaduh dengan Farah pasal rumah. Lepas itu, benda jadi teruk. Kau mula baling-baling barang dan dia lari keluar untuk telefon polis. Bila dia masuk. Farah dah terbaring.” Jelas Fahmi.
“Mirza?”
“Dia sokong kenyataan mak kau yang kau memang ada di rumah dengan mereka dari pagi.” Keluh Fahmi berat.
Jihan tersenyum tawar. Perancangan yang jelas di matanya. Dia keluar rumah sebelum Mirza pergi kerja, mustahil Mirza tidak tahu dia tiada di rumah. Jihan tidak sangka Mirza sanggup mempertahankan ibu mereka walaupun mangsa kes itu ialah isteri Mirza sendiri.
“Saudara-mara kau pun ada yang tampil beri keterangan yang kau ada bertegang urat dengan Farah beberapa hari lepas.” Kata-kata Mirza membuatkan Jihan terus buntu. Saudara-maranya yang sudah pulang ke rumah masing-masing sehari selepas ketegangan antara dia dan Farah tidak tahu bahawa dia sudah berbaik dengan Farah.
“Apa… yang boleh kita buat?” Suara Jihan perlahan, tiada kudrat.
“Kita beri keterangan seperti yang kau beritahu aku tadi. Kita boleh dapatkan bukti yang kau memang tak ada di rumah pagi tadi melalui kafe yang kau pergi. Card transaction and CCTV should prove you’re there.”
Jihan menggeleng lemah. “Aku … pakai cash. Kafe tu kafe biasa, bukan kafe mewah. Aku tak rasa ada CCTV dekat situ.”
“Kita kena cuba. Kalau tak ada CCTV, kita boleh minta pekerja kafe jadi saksi keberadaan kau di kafe tu. We need to try, Jihan. I’m gonna save you, old friend.”
Pihak polis berjaya mendapatkan perintah reman ke atas Jihan untuk tempoh seminggu. Semasa dalam tahanan reman, Jihan banyak berdiam. Makanan yang diberi hanya dicuit sedikit, sekadar mengelakkan masuk angin. Apa-apa soalan yang ditanya polis dijawabnya dengan jawapan sama semasa memberi keterangan bersama Fahmi. Lebih dari itu, dia pilih untuk berdiam.
“Jihan, aku ada berita untuk kau.” Fahmi membuka bicara pada pertemuan mereka yang seterusnya.
“Kau dapat keterangan pekerja cafe tu?” Wajah Jihan sedikit teruja, dipenuhi harapan.
Fahmi menggeleng, sugul. “Pekerja cafe tu, tak ada permit kerja. Jadi dia tak nak terlibat dengan polis.”
Jihan mengeluh. Dia mengetap bibir sebelum bersuara. “Jadi, sekarang macam mana?”
“Kita tak dapat nak buktikan kau ada di cafe tu.”
Air mata Jihan mengalir. Dia tersedar bahawa pilihannya untuk pulang ke tanah air merupakan pilihan yang salah malahan dia mengharapkan sesuatu yang dia sudah lama tahu tidak akan terjadi buat dirinya, iaitu sebuah keluarga.
Tanpa dia tahu, kes tersebut sudah tersebar di seluruh negara dan juga negara luar. ‘Penulis Novel ‘Sins of The Lips’ Suspek Utama Pembunuhan Adik Ipar’, betapa meriah akhbar-akhbar melaporkan perkara tersebut.
3 Bulan kemudian
Sepanjang Jihan ditahan sebagai Orang Kena Tangkap (OKT), hanya Fahmi yang sering datang berjumpanya bagi membincangkan perbicaraannya nanti. Dia tidak mempunyai pelawat lain.
Namun, seminggu sebelum perbicaraannya, dia menerima pelawat yang tidak disangka-sangka. Sebuah cermin memisahkan mereka saat Jihan duduk bertentang mata dengan pelawat tersebut. Dia mengangkat ganggang telefon.
“Jihan, Jihan sihat?” suara tua itu bertanya.
Jihan berdiam. Sekadar matanya berkaca memandang orang tua dia hadapannya.
“Jihan, ibu - ibu sayang Jihan.” Suara pelawat itu serak-serak basah kerana menahan tangisan.
Namun, Jihan tahu, tangisan itu bukanlah kerana mengasihaninya. Telinga Jihan mentafsir tangisan tersebut sebagai satu rayuan. Rayuan untuk Jihan mengaku bahawa dialah yang menjadi punca kematian Farah.
“Jihan, ibu tak ada niat untuk semua ni berlaku. Sewaktu ibu beri keterangan-”
“Siapakah …” bicara wanita separuh abad itu dipotong oleh Jihan yang mengalunkan suaranya.
“Dulu… membina ha…rapan… dan siapa… yang me … musnahkan impian.” Suara Jihan tidak bermaya, namun jelas didengar oleh telinga wanita di hadapannya. Dia menyanyikan lagu itu jauh lebih perlahan berbanding irama asal sambil menatap mata hitam ibunya.
“Tanpa sebab… dan alasan… kau mainkan… perasaan… bagai tau… fan. Tiba-tiba datang… dan menghilang.” Jihan mengakhiri nyanyian lagu Ibnor Riza itu di situ. Sungguh, melainkan apa yang disebutnya, dia tiada benda lain untuk dikatakan kepada pelawat tersebut.
Jihan kemudian bangun ke pintu masuk bahagian melawat itu memberi isyarat kepada pegawai penjara bahawa lawatan tersebut telah tamat. Aminah pula hanya menangis melihat anaknya berlalu pergi sambil menutup mulutnya, menahan dari bunyi raungannya didengari seluruh Penjara Sungai Buloh.
Siapakah dulu membina harapan
Dan siapa yang memusnahkan impian
Tanpa sebab dan alasan
Kau mainkan perasaan
Bagai taufan tiba-tiba datang
Dan menghilang
p.s: next part mungkin last part. Ya Allah sebulan tak update. talk about inconsistency